Saturday, August 30, 2008

Ahlan Ya Ramadhan....

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah,setelah setahun ia berlalu,kini Ramadhan,bulan yang dirindui dan ditunggu-tunggu oleh semua muslimin muncul kembali..Syukur tak terkira,kerana diri masih dipilih oleh Allah untuk menjadi ahli madrasah Ramadhan yang penuh barakah ini..Betapa Ramadhan ini amat dekat dalam hati orang mukmin..Teringat saya ketika membaca satu tazkirah mengenai Ramadhan,bagaimana para sahabat di zaman Rasulullah begitu merindui akan Ramadhan,sehinggakan mereka telah berdoa selama enam bulan sebelum kedatangan Ramadhan dengan doa yang amat ringkas tapi mendalam maknanya
-Allahumma Balighna Ramadhan (Ya Allah sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan) - doa yang penuh pengharapan agar dapat dipertemukan dengan Ramadhan..Malah enam bulan selepas Ramadhan pula diisi dengan tangisan kerana berlalunya bulan yang mulia itu..Lantas kita umat Islam zaman sekarang,apa yang telah kita lakukan untuk membuktikan cinta dan rindu kita pada Ramadhan ini?

Saya rasa bersyukur kerana untuk kali ketujuhnya,saya dapat menyambut bulan Ramadhan ini di Mesir.Mungkin ada yang tertanya-tanya,mengapa begitu gembira,walhal duduk berjauhan dari keluarga tercinta?Tapi bagi saya,sambutan Ramadhan di sini amat meriah.Tanyalah sesiapa saja yang pernah menyambut Ramadhan di negeri anbiya' ini,pasti mereka juga akan mengiakan pandangan saya.Sebelum kedatangan Ramadhan lagi,rumah dibersihkan dan dihias cantik dengan fannus Ramadhan,jalanraya juga dihias dengan reben yang berwarna warni dan pelbagai rupa.Dibulan Ramadhan pula,kita dapat lihat budaya membaca alquran dimana-mana sahaja oleh segenap lapisan umur dan masyarakat.Malamnya,masjid-masjidnya penuh dengan lautan manusia yang ingin menunaikan solat sunat tarawikh bersama-sama.Malahan,jumlah ini bertambah berkali ganda bila memasuki 10 malam terakhir,kerana ingin mencari dan merebut malam yang lebih baik dari seribu bulan,iaitu malam lailatul qadar.Pada 10 malam terakhir ini juga,qiamullail diadakan dimasjid-masjid.Seawal jam 1 pagi lagi,manusia telah membanjiri masjid-masjid sehinggakan tempat yang disediakan tidak mencukupi.Ketika ini,mereka akan solat dimana sahaja,atas jalan,padang,taman rekreasi,garaj kereta hatta pernah di stesen minyak.Subhanallah,saya rasa amat takjub dengan apa yang lihat ketika itu,bahkan inilah yang membuatkan hati saya rasa seronok menyambut Ramadhan di sini.



Apa pun,walau dimana sahaja kita berada,moga kesempatan yang Allah berikan untuk menjadi ahli madrasah Ramadhan ini tidak kita sia-siakan dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah.Gunakanlah sebaiknya peluang yang ada dengan amalan-amalan yang mampu mendekatkan diri kita dengan Allah.Jangan biarkan bulan yang pada awalnya rahmat,ditengahnya maghfirah dan diakhirnya pembebasan dari api neraka ini berlalu begitu sahaja.Sama-samalah kita berlumba mengejar kebaikan yang ada dalam bulan yang mulia ini.. Allahummaj'alna min ahli Ramadhan...


~Kullu 'am waantum aqraba ilallah=)~

No comments: